FULL VIDEO Pengajaran Sains Secara Online - Sains KSSM Tingkatan 4 [Bab 2 - Bantuan Kecemasan]
Dalam tajuk ini murid akan mempelajari tentang bantuan kecemasan sebagai langkah awal menangani kecemasan. Antara topik menarik yang dipelajari adalah tentang Resusitasi kardiopulmonari, iaitu CPR dan juga pertolongan cemas untuk kes tercekik, Heimlich Manoeuvre. Murid juga akan belajar situasi yang memerlukan bantuan awal kecemasan, serta kaedah CPR dan kaedah Heimlich Manoeuvre yang betul.
2.1 RESUSITASI KARDIOPULMONARI (CPR)
Resusitasi kardiopulmonari adalah kaedah tekanan di dada dan hembusan ke mulut untuk bantuan awal kecemasan. Pertolongan cemas CPR ini adalah bagi tujuan memberi bantuan pernafasan kepada mangsa yang tidak dapat bernafas, pengsan atau juga sudah tiada denyutan jantung atau nadi.
Banyak sebab menyebabkan perkara sedemikian seperti terkena renjatan elektrik, lemas dan juga serangan jantung. Tindakan cepat CPR ini boleh menyelamatkan nyawa dengan:
1. Tekanan di dada - memastikan darah dapat dipam ke seluruh badan (ganti sementara fungsi jantung)
2. Hembusan ke mulut - memastikan oksigen sampai ke seluruh badan dan otak (peredaran darah)
TEKNIK CPR YANG BETUL
Berikut dikongsikan teknik Resusitasi Kardiopulmonari, CPR yang betul oleh adik Shamil. Semoga membantu tau. Mudah sangat kaedahnya!
Secara ringkasnya, teknik Resusitasi Kardiopulmonari, CPR yang betul adalah menggunakan kaedah:
DANGER - pastikan mangsa berada pada persekitaran yang selamat
RESPON - dapatkan respon daripada mangsa melalui suara dan degupan jantung atau nadi
AIRWAY - dongakkan kepala dan angkat dagu mangsa untuk memastikan laluan pernafasan tidak terhalang
BREATHING - pastikan ada pernafasan oleh mangsa
CIRCULATION - mulakan tekanan di dada pada posisi yang betul dengan 30 kali tekanan, diikuti dengan 2 kali hembusan nafas ke mulut mangsa. Ulang sebanyak 5 kali sehingga mangsa sedar atau sehingga ambulans datang
2.2 HEIMLICH MANOEUVRE
Heimlich Manoeuvre adalah pertolongan cemas untuk membantu mangsa yang tercekik. Ini dapat dikesan melalui mangsa sukar bernafas, sukar bercakap atau batuk dan muka dan kulit kebiruan. Pertolongan awal Heimlich Manoeuvre ini dapat membantu mangsa untuk pulih. Jika terlewat, kerosakan otak boleh berlaku. Malah lebih parah sehingga berlaku kematian.
TEKNIK HEIMLICH MANOEUVRE
Teknik Heimlich Manoeuvre yang betul dimulakan dengan tepukan di belakang mangsa bagi membolehkan makanan atau bendasing yang tersekat keluar. Jika tak berhasil, bolehlah pergi ke belakang mangsa dan genggam tangan kanan. Seterusnya peluk mangsa dengan memastikan tangan kiri berada di atas tangan kanan. Pastikan kedudukan genggaman pada bawah tulang rusuk hingga pusat. Kemudian sentak ke atas dengan cepat dan kuat supaya tekanan dalam peparu bertambah, sekaligus menolak makanan tu keluar.
Jom kita saksikan video demonstrasi yang ditunjukkan oleh adik Farah. Semoga membantu!
BENGKEL CPR DAN HEIMLICH MANOEUVRE
Berikut adalah cadangan aktiviti yang boleh dilakukan di sekolah, iaitu Bengkel CPR dan Heimlich Manoeuvre. Bengkel ini kami laksanakan pada awal tahun 2020, dengan mendapat kerjasama daripada Klinik Kesihatan Ayer Hitam, Kedah serta Panitia Sains SMK Jerlun. Bengkel yang melibatkan semua murid Tingkatan 4 ini juga merupakan aktiviti PLC bagi rakan guru yang terlibat.
Semoga koleksi video ini membantu murid Sains Tingkatan 4 belajar Bab 2 - Bantuan Kecemasan bagi melakukan CPR (Resusitasi kardiopulmonari) dan juga rawatan tercekik Heimlich Manoeuvre dengan lebih baik. Semoga bermanfaat!